Penubuhan JKKK direstui kerajaan seperti termaktub dalam Arahan No 3, Rancangan Pembangunan Negara dan Luar Bandar tahun 1962. Pada peringkat awal jawatankuasa ini dinamakan Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKK). Memikirkan keperluan dan tanggungjawab jawatankuasa ini yang semakin bertambah maka JKK diperkemaskan semula melalui Gerakan Maju (1966), Jaya Diri (1968) dan Gerakan Pembaharuan (1972). Majlis Keselamatan Negara mengenai Rukun Tetangga dan Rancangan Perhubungan Masyarakat kemudian mengubah JKK menjadi JKKK pada Ogos 1975.

Selaras dengan pertukaran nama itu tanggungjawab badan berkenaan turut ditingkatkan. Secara terpericinya antara tugas JKKK adalah membabitkan pentadbiran, pembangunan, ekonomi, pendidikan, kesihatan, keagamaan dan kerohanian, Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) dan keselamatan.

JKKK hanya mula diterima secara rasmi melalui Persidangan Residen di Sarikei pada 17-19 Julai 1987 dan dilaksanakan melalui surat pekeliling bil.3/pkm/2120 bertarikh 20 Ogos 1987.

Pada tahun 1998 kerajaan telahpun meluluskan garis paduan penubuhan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang baru untuk memperkemaskan dan memantapkan lagi fungsi dan peranan JKKK di negeri Sarawak.   
Pengerusi dan ahli-ahli JKKK dilantik oleh Pegawai Daerah. Ketua Kampung atau dikenali sebagai Ketua Kaum/Kapitan Cina hendaklah sebaiknya menjadi Pengerusi JKKK tetapi dalam kes-kes tertentu dimana warga kampung, atas dasar bertolak ansur, boleh melantik orang lain tetapi Ketua Kampung mesti dilantik sebagai penasihat JKKK.

Ahli-ahlinya dilantik dari kalangan pengerusi dalam pelbagai organisasi yang sedia ada di kawasan berkenaan seperti RELA, Saberkas, WI, kumpulan politik, jawatankuasa surau, pertubuhan peladang, rukun tetangga dan sebagainya.

Kriteria JKKK yang Cemerlang
 

  1. Mengutamakan kebersihan dan kesihatan, 
  2.  Meningkatkan keindahan dan keceriaan, 
  3. Memajukan sektor ekonomi kampung,
  4. Meningkatkan tahap pendidikan dan latihan kemahiran,
  5. Menguasai teknologi maklumat dan komunikasi, 
  6. Menekankan aktiviti rohaniah dan sivik,
  7. Meningkatkan aspek kepimpinan dan mempelbagaikan aktiviti kemasyarakatan
  8. Meningkatkan kreativiti dan penyertaan penduduk.