













Bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan keizinanNya juga, JKKK kampung ini dapat memainkan peranan penting untuk mengembelingkan usaha membangunkan warga kampung.
Dengan pelbagai latar belakang anggotanya dari mereka yang berpendidikan tinggi dan berpengalaman serta disokong oleh kumpulan penggerak yang aktif, telah membolehkan JKKK mengadakan pelbagai aktiviti untuk warga kampung.
Tahun 2010, kita telah menempa pelbagai kejayaan melalui penganjuran pelbagai program dan aktiviti, yang terbesar ialah Lan Berambeh diikuti pula Pesta Makanan bersama dengan SEDC. Apa yang membanggakan ialah kampung berjaya melahirkan produk cendolnya, yang mendapat tempahan untuk dijual di hotel bertaraf lima bintang iaitu Riverside dan Grand Margharita
Selain itu, Perbadanan Kraftangan Malaysia pula sedang berusaha untuk mengangkat kampung ini melalui projek tenunannya, iaitu sulaman keringkam.








Dalam masa terdekat lagi, Sungai Sarawak akan diwarnai oleh satu lagi identiti baru iaitu, bot pesiarannya dikenali Lan Berambeh River Cruises.
Melalui penubuhan Koperasi kampung pada awal tahun 2010, pastinya akan menjadi platform penting untuk kita terus bergerak maju, bukan hanya meningkatkan status ekonomi warga kampung tetapi juga mampu menaikkan nama kampung dan secara tidak langsung menaikkan imej DBKU melalui program KJMnya.
Tahun 2010, tercatat sejarah di kampung ini apabila YAB Perdana Menteri Malaysia sudi untuk menjejakkan kakinya ke kampung kita yang juga mengumumkan sebanyak RM400 ribu untuk membina Pusat Komuniti bagi menempatkan pusat kegiatan dan Tabika KEMAS.
Pengiktirafan oleh Datuk Bandar DBKU kepada kita dengan menganugerahkan kampung kita sebagai Kampung Contoh KJM 2010, merupakan satu penghormatan yang amat tinggi buat kita semua.
Usaha sepanjang tahun 2011 akan diteruskan dengan mengekalkan prestasi cemerlang tahun 2010. Ini akan dapat dicapai melalui kerjasama dan sokongan semua pihak, InsyaAllah, semua usaha murni akan menjadi kenyataan.
Semoga usaha kita sentiasa diberkati oleh Allah SWT.
PENGHULU HAJI GHANI ABONE@MORNI


Logo JKKK terbina daripada dalam bentuk empat segi yang menggambarkan peranan yang berlandaskan kepada empat fungsi utamanya. Bentuk empat segi melambangkan penekanan dalam empat bidang utama yang menjadi fokus JKKK seperti ekonomi, kemajuan fizikal dan modal insan, pelancongan dan keselamatan.
Warna hijau yang sering dikaitkan dengan warna alam sebagai latarbelakang utama JKKK memberi makna bahawa JKKK adalah badan yang diselubungi dengan semangat yang menyegarkan, sentiasa bertenaga, mampu memberi impak yang positif dalam menempuh cabaran dengan penuh rasa tenang, menyejukkan dan emosi yang seimbang. Sifat seumpama ini dalam JKKK akan menggalakkan dan akan merangsang kreativiti dan semangat bekerjasama di kalangan warga kampung.
Objek atau perkataan JKKK yang tersusun dan diselangselikan pula dengan warna bendera Kerajaan Negeri Sarawak menggambarkan hasrat dan inspirasi untuk mencapai agenda Kerajaan Negeri.
Disempadani dengan warna putih pula menggambarkan organisasi JKKK ini, terikat dengan peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri dari semasa ke semasa.